Wednesday, 12 September 2018

Kompenen Perbelanjaan Negara

 KOMPONEN PERBELANJAAN NEGARA

 Komponen perbelanjaan ini dibahagikan kepada dua jenis perbelanjaan utama iaitu perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

PERBELANJAAN MENGURUS

Perbelanjaan mengurus juga dikenali sebagai perbelanjaan penggunaan. Perbelanjaan tersebut  digunakan untuk membiayai aktiviti aktiviti harian kerajaan yang bersifat berulang-ulang atau berterusan seperti membayar gaji dan bil utiliti serta membeli bekalan. Perbelanjaan jenis ini dapat dibahagikan dengan lebih khusus kepada dua bentuk iaitu perbelanjaan tanggungan dan perbelanjaan perbekalan.

Perbelanjaan tanggungan

Bentuk perbelanjaan ini telah diperuntukkan di bawah Perkara 98, Perlembagaan. Ia dipertanggungkan terus kepada Kumpulan wang Disatukan. Ia diadakan untuk membiayai komitmen kerajaan kepada beberapa pihak yang diberi kedudukan istimewa dan juga untuk mengurangkan pengaruh kerajaan ke atas keputusan-keputusan yang dibuat oleh pihak-pihak tersebut. Antara contoh perbelanjaan ini termasuk pembayaran elaun DiRaja, gaji Ketua Hakim dan Hakim-hakim, gaji Ketua Audit Negara, perbelanjaan Suruhanjaya-suruhanjaya dan bayaran pencen serta  ganjaran. Perbelanjaan tanggungan tidak memerlukan kelulusan Parlimen untuk dikeluarkan daripada Kumpulan wang Disatukan sebaliknya hanya memerlukan tandatangan Menteri Kewangan di waran peruntukan.

Perbelanjaan perbekalan 

Bentuk kedua iaitu perbelanjaan perbekalan merupakan semua jenis perbelanjaan yang dilakukan bagi membiayai aktiviti-aktiviti harian agensi-agensi kerajaan. Dalam melaksanakan tanggungjawab menyediakan pelbagai perkhidmatan yang penting kepada masyarakat, pihak kerajaan menanggung kos yang banyak dan berterusan. Ia perlu membayar gaji kakitangan awam, membeli barang-barang bekalan, membayar bil-bil utiliti, menyewa kelengkapan dan banyak lagi

 Perbezaan diantara perbelajaan tanggungan dan perbekalan adalah dari segi kelulusan. Perbelanjaan   perbekalan tidak dipertanggungkan terus kepada Kumpulan wang Disatukan seperti perbelanjaan tanggungan. Oleh itu, ia memerlukan kelulusan Parlimen melalui Rang Undang-undang Perbekalan  (Bajet) sebelum sebarang perbelanjaan dapat dilakukan. Di antara contoh perbelanjaan umum di bawah kategori ini adalah emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pembelian aset, pemberian dan kenaan tetap.

PERBELANJAAN PEMBANGUNAN

 Perbelanjaan pembangunan atau dikenali sebagai perbelanjaan modal. Sifatnya tidak berulang dan pulangan akan dapat diperolehi dalam jangka panjang. Contohnya, pembinaan sekolah, lapangan terbang, jalan raya dan hospital. Pengagihan perbelanjaan pembangunan ini dibuat mengikut sektor-sektor seperti ekonomi, sosial, keselamatan dan pentadbiran am. Perbelanjaan ini diasingkan daripada perbelanjaan mengurus disebabkan beberapa ciri tertentu,  antaranya:

 i. Ia melibatkan sejumlah peruntukan yang besar

ii. Aliran wang keluar dan masuk berlaku bagi jangka panjang

iii. Perbelanjaan ini biasanya dibiayai melalui pinjaman yang besar, sama ada dari dalam mahupun luar negara.

 iv. Memerlukan penyeliaan dan penyelenggaraan di masa akan datang


Rujukan

Samihah, K., Alida, Abdullah & Subri, H. Pentadbiran Kewangan. Pusat pendidikan Professional dan Lanjutan : Sintok

No comments:

Post a Comment