PENGENALAN
Sistem
Persekutuan merujuk kepada satu penyusunan politik dalam mana wujudnya dua
peringkat kerajaan, iaitu sebuah kerajaan pusat dengan dua atau lebih kerajaan
negeri. Setiap kerajaan ini dihadkan bidang kuasa masing-masing, dan dalam pada
itu mempunyai sifat sedarjat (co-equal) serta bebas daripada campur tangan
antara satu sama lain. Takrif ini umumnya sangat menekankan ketiadaan campur
tangan daripada mana-mana kerajaan dalam soal bidang kuasa yang dihadkan kepada
dua peringkat kerajaan dalam negara persekutuan (Ruslan Zainuddin et.al.,
2005:218).
Malaysia merupakan antara
negara yang mengamalkan sistem Persekutuan selain Amerika Syarikat, Brazil dan
India. Sistem Persekutuan diwujudkan dalam sesebuah negara bertujuan untuk
mengelakkan sistem pemerintahan bercorak kesatuan atau unitary dan mewujudkan
sebuah kerajaan yang lebih sistematik dan menghormati kuasa yang ada pada
sesama mereka yang mempunyai autoriti dalam kawasan masing-masing. Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan Sistem Persekutuan bermaksud pemerintahan negara
dibahagikan kepada dua peringkat kerajaan iaitu kerajaan pusat dan kerajaan
negeri.
Kerajaan persekutuan ialah
gabungan kerajaan pusat dan negeri. Antara ciri-ciri kerajaan Persekutuan ialah
tidak mempunyai kuasa mutlak, setiap peringkat kerajaan mempunyai kuasa
autonomi sendiri dalam bidang perundangan tertentu dan setiap peringkat
mempunyai kedudukan yang seimbang serta kerajaan pusat mempunyai kuasa penuh
kepada hal ehwal luar negara dan hal umum. Selain itu, kerajaan negeri mempunyai
kuasa penuh terhadap hal dalam negeri seperti tanah dan pentadbiran negeri dan
tidak ada pihak yang mempunyai kuasa untuk menindas terhadap pihak lain.
Seterusnya, kerajaan negeri
pula merupakan pentadbiran sesebuah negeri. Kerajaan ini lazimnya mempunyai
kuasa yang agak terhad seperti kuasa untuk menentukan undang-undang negeri,
pendidikan, budaya dan sebagainya. Biasanya kerajaan pusat tidak akan campur
tangan dalam urusan-urusan negeri melainkan bertentangan dengan undang-undang
persekutuan. Oleh itu, kerajaan negeri biasanya mempunyai pengaruh yang besar
terhadap rakyatnya. Di Malaysia pegawai tertinggi sebuah negeri ialah Menteri
Besar manakala kuasa eksekutif di peringkat negeri terletak pada raja atau Yang
Dipertua Negeri mengikut Perlembagaan masing-masing.
Perlembagaan Persekutuan Bahagian VI
memperuntukkan pembahagian kuasa antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan
negeri. Pembahagian kuasa ini di terangkan dalam Senarai Pertama dan Senarai
Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Pembahagian kuasa dan
tanggungjawab antara kerajaan pusat dan negeri dibuat berdasarkan beberapa
keutamaan tertentu yang telah diputuskan dan dapat dilihat dari sudut utama
iaitu kuasa perundangan dan kuasa eksekutif.
KUASA EKSEKUTIF
Dengan
berpandukan kaedah pembahagian kuasa perundangan, pembahagian kuasa eksekutif
telah dibuat. Kuasa eksekutif kerajaan persekutuan tertumpu kepada Senarai
Persekutuan manakala bidang kuasa kerajaan negeri terkandung dalam Senarai
Negeri dan Senarai Bersama. Dalam Perkara 94, Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan beberapa perkara yang membolehkan kuasa eksekutif kerajaan
persekutuan diperluas meliputi perkara-perkara dalam Senarai Negeri dan Senarai
Bersama. Hal ini boleh dilakukan bagi maksud-maksud tertentu iaitu mengumpulkan
perangkaan, menjalankan kajian dan penyiasatan, menyediakan kemudahan
pendidikan, bantuan teknikal dan nasihat serta menjalankan pemeriksaan ke atas
kegiatan mana-mana jabatan kerajaan negeri dengan tujuan untuk membuat laporan
kepada kerajaan persekutuan.
Dalam Perkara 93 (2), Perlembagaan Persekutuan
menetapkan bahawa menjadi kewajipan kerajaan sesuatu negeri, semua pegawai dan
pihak berkuasa negeri untuk memberi bantuan dan kerjasama kepada kerajaan
persekutuan bagi membolehkannya menjalankan kuasa eksekutif. Hal ini penting
bagi mengelakkan perluasan kuasa eksekutif ini terjejas akibat keengganan
kerajaan untuk bekerjasama. Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan beberapa
perkara yang berkaitan bagi menunjukkan kerajaan Persekutuan itu mempunyai
bidang kuasa yang lebih tinggi daripada kerajaan negeri. Perlembagaan telah
menetapkan beberapa perkara yang berkaitan. Perkara 81 menetapkan kewajipan
kerajaan Negeri kepada Persekutuan dengan mematuhi dan memakai Undang-Undang
Persekutuan. Kerajaan Negeri juga tidak boleh menghalang atau menyentuh
perjalanan kuasa pemerintahan Persekutuan.
Selain itu, Perkara 93 berkaitan dengan
siasatan, tinjauan dan perangkaan. Adalah jelas dalam Fasal 1 telah
memperuntukkan kuasa kerajaan Pusat untuk membuat siasatan terhadap kerajaan
Negeri dan dalam Fasal 2 pula menjelaskan yang kerajaan Negeri, pegawai dan
pihak berkuasa mestilah membantu kerajaan Pusat dalam menjalankan kuasanya di
negeri. Demikian juga dengan Perkara 94 dan 95 yang memperuntukkan kuasa penyelidikan
dan pemeriksaan oleh kerajaan Pusat kepada Negeri (Rohani Hj Ab Ghani &
Mohamad Idris Saleh, 2004:120). Perlembagaan Persekutuan, Perkara 80 telah
memperuntukkan pembahagian kuasa eksekutif di peringkat Persekutuan, iaitu
Perkara 80 (1) tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini kuasa
eksekutif Persekutuan meliputi segala perkara yang mengenainya Parlimen boleh
membuat undang-undang, dan kuasa eksekutif sesuatu Negeri meliputi segala
perkara yang mengenainya Badan Perundangan Negeri itu boleh membuat
undang-undang.
Perkara 80 (2) Kuasa eksekutif
Persekutuan tidak meliputi apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam
Senarai Negeri, kecuali setakat yang diperuntukkan dalam Perkara 93 hingga 95,
dan juga tidak meliputi apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai
Bersama, kecuali setakat yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan atau
undang-undang Negeri; dan setakat yang undang-undang persekutuan atau
undang-undang Negeri memberikan kuasa eksekutif kepada Persekutuan mengenai
apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Bersama, undang-undang
itu boleh berbuat demikian dengan menyingkirkan kuasa eksekutif Negeri itu. Perkara
80 (3) Setakat yang sesuatu undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (4) Perkara
76 membuat peruntukan bagi memberikan kuasa eksekutif kepada Persekutuan,
undang-undang itu tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana Negeri melainkan jika
diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri itu melalui suatu ketetapan.
Perkara 80 (4) Undang-undang
persekutuan boleh membuat peruntukan supaya kuasa eksekutif sesuatu Negeri
hendaklah meliputi pentadbiran mana-mana peruntukan tertentu dalam
undang-undang persekutuan dan boleh bagi maksud itu memberikan kuasa kepada dan
mengenakan kewajipan pada mana-mana pihak berkuasa Negeri itu. 83 Undang-Undang
Malaysia. Perkara 80 (5) Tertakluk kepada mana-mana peruntukan undang-undang
persekutuan atau undang-undang Negeri, perkiraan boleh dibuat antara
Persekutuan dengan sesuatu Negeri bagi pelaksanaan apa-apa fungsi oleh pihak
berkuasa pada satu pihak bagi pihak berkuasa pada pihak yang satu lagi dan
perkiraan sedemikian boleh membuat peruntukan bagi pembayaran berkenaan dengan
apa-apa kos yang dilakukan di bawah perkiraan itu.
Perkara 80 (6) Jika, menurut
Fasal (4), apa-apa fungsi diberikan oleh undang-undang persekutuan kepada
mana-mana pihak berkuasa sesuatu Negeri maka Persekutuan hendaklah membuat
apa-apa pembayaran kepada Negeri sebagaimana yang dipersetujui antara
Persekutuan dengan Negeri itu atau sebagaimana yang diputuskan oleh suatu
tribunal yang dilantik oleh Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan jika tidak
ada persetujuan.
Melalui obligasi negeri kepada
persekutuan, Perkara 81 menyatakan kuasa eksekutif tiap-tiap negeri hendaklah
dijalankan supaya dapat dipastikan bahawa apa-apa undang persekutuan yang
dipakai bagi Negeri itu dipatuhi dan tidak menghalang atau menjejaskan
perjalanan kuasa eksekutif persekutuan.
KUASA PERUNDANGAN
Bidang
kuasa perlu dibahagikan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri kerana
kedua-dua kerajaan tersebut tidak boleh menjalankan tugas-tugas pentadbiran
secara bersendirian kerana mempunyai kaitan antara satu sama lain. Oleh itu,
kedua-duanya mesti mengetahui bidang kuasa masing-masing dan sentiasa
mengadakan rundingan untuk mencapai sesuatu persetujuan. Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan pembahagian kuasa antara kerajaan persekutuan dengan
kerajaan negeri. Pembahagian kuasa ini diterangkan dalam Senarai Pertama dan
Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Pembahagian kuasa
antara kerajaan persekutuan dan negeri dilakukan dengan tujuan untuk melicinkan
perjalanan sistem persekutuan serta mengelakkan timbulnya sebarang masalah dan
pertelingkahan antara kedua peringkat kerajaan. Pembahagian kuasa dan
tanggungjawab antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri dibuat
berdasarkan beberapa keutamaan tertentu yang telah diputuskan. Pembahagian
kuasa ini dapat dilihat dengan jelas daripada sudut kuasa perundangan (Ruslan
Zainuddin et.al., 2005:220).
Pembahagian kuasa perundangan dibuat
melalui peruntukan dalam perlembagaan. Perkara 73, Perlembagaan Persekutuan
menurunkan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang bagi seluruh Persekutuan
atau mana-mana bahagiannya, manakala Dewan Undangan Negeri boleh membuat
undang-undang bagi seluruh atau sebahagian negeri itu sahaja. Parlimen juga
diberi kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan perkara-perkara yang
terkandung dalam Senarai Pertama dan Senarai Ketiga. Perkara–perkara yang
dinyatakan dalam Senarai Pertama disebut sebagai Senarai Persekutuan. Senarai
Ketiga ialah senarai bidang kuasa yang melibatkan hubungan kerjasama antara
Parlimen dengan Dewan Undangan Negeri wang dikenali sebagai Senarai Bersama.
Perkara–perkara di bawah bidang kuasa Parlimen berada dalam Senarai Persekutuan
dan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Parlimen boleh membuat
undang-undang ke atas mana-mana perkara yang disebut dalam Senarai Persekutuan
dan Senarai Bersama (Ruslan Zainuddin et.al., 2005:220).
KUASA PERUNDANGAN
Antara
perkara yang terkandung dalam Senarai Persekutuan ialah hal-ehwal luar ,
pertahanan, keselamatan dalam negeri, kewangan, kewarganegaraan, perdagangan
dan perusahaan, undang-undang sivil dan jenayah, kesihatan , syarikat
kerjasama, perkapalan, pengangkutan dan perikanan. Sehubungan dengan itu, Dewan
Undangan Negeri diberi kuasa untuk membuat undang-undang bagi perkara-perkara
dalam Senarai Kedua dan Senarai Ketiga. Selain itu, Undang-undang yang digubal
oleh persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara kerana undang-undang
yang digubal oleh negeri akan terbatal sekiranya bercanggah dengan undang-undang yang digubal
oleh persekutuan melalui parlimen. Seterusnya, menurut perkara 75 Perlembagaan
Persekutuan, jika ada undang-undang negeri yang tidak selaras dengan sesuatu
undang-undang Persekutuan, maka udang-undang persekutuan itu hendaklah
mengatasi undang-undang negeri tersebut manakala undang-undang negeri itu
adalah tidak sah setakat mana yang tidak selaras itu. Persekutuan berkuasa
untuk menggubal undang-undang yang terdapat dalam senarai Persekutuan dan
senarai bersama. Tetapi pada masa yang sama Persekutuan juga berkuasa untuk
menggubal undang-undang bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian Persekutuan
dan undang-undang yang berkuat kuasa di luar dan juga di dalam Persekutuan
manakala badan perundangan sesuatu negeri boleh membuat undang-undang bagi
keseluruhan atau mana-mana bahagian negeri itu sahaja.
Kuasa perundangan persekutuan dapat
dilihat dari sudut perundangan di bawah perkara 76 Perlembagaan Persekutuan di
mana Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi negeri-negeri dalam
hal-hal tertentu. Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara
yang disebut satu persatu dalam senarai negeri. Tetapi hanya bagi
perkara-perkara berkenaan dengan triti, perjanjian atau konvensyen antara
Persekutuan dengan mana-mana negara lain, atau apa-apa keputusan sesuatu organisasi
antarabangsa yang dianggotai oleh Persekutuan. Seterusnya, persekutuan juga
berkuasa untuk membuat undang-undang bagi tujuan keseragaman undang-undang
antara dua negeri atau lebih sekiranya diminta sedemikian oleh Dewan Undangan
Negeri di mana-mana Negeri. Selain itu, tiada undang-undang boleh dibuat oleh
Kerajaan Persekutuan mengenai apa-apa perkara tentang hukum syarak, adat orang
Melayu dan mengenai perkara tentang undang-undang adat anak negeri di negeri
Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Parlimen juga boleh memastikan keseragaman undang-undang dan dasar
dengan membuat undang-undang mengenai
pemegang tanah, perhubungan antara tuan tanah dengan penyewa, pendaftaran hak
milik ,surat ikatan yang berhubungan dengan tanah, pindah hak milik tanah,
gadai janji , pajakan, gadaian berkenaan dengan tanah, isemen, hak serta
kepentingan lain mengenai tanah, pengambilan tanah dengan paksa, perkadaran dan
penilaian tanah serta kerajaan tempatan. Berkenaan dengan perkara-perkara yang
dinyatakan di atas bahawa kerajaan Persekutuan berkuasa untuk membuat undang-undang
bagi menyeragamkan antara undang-undang negeri dengan undang-undang Persekutuan
untuk perkara-perkara tertentu yang melibatkan bidang kuasa kerajaan
Persekutuan.
KUASA KEWANGAN
Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan bahawa semua hasil yang utama terletak di bawah
bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Secara umumnya, Kerajaan Negeri bergantung
pada sumber kewangan daripada Kerajaan Persekutuan kerana sumber-sumber
pendapatannya daripada hasil tanah, galian, cukai hiburan, zakat, fitrah dan
lain-lain sangat terbatas. Kerajaan Persekutuan merupakan pihak berkuasa
pencukai yang utama. Secara purata, kira-kira satu perempat daripada hasil
Kerajaan Negeri diperoleh daripada pemberian Kerajaan Persekutuan. Dua jenis
pemberian wajib Kerajaan Persekutuan kepada semua Kerajaan Negeri pada setiap
pemberian adalah mengikut bilangan orang di sesebuah negeri. Pemberian ini
diberi mengikut kadar tertentu, iaitu bagi 100 000 orang yang pertama, kadarnya
ialah RM20.00 bagi setiap orang; bagi 150 000 orang selepas itu, kadarnya ialah
RM10.00 bagi setiap orang; bagi 250 000 orang selepas itu, kadarnya ialah RM6.00
setiap orang dan bakinya, kadar bagi setiap orang ialah RM3.00. Malah,
pemberian jalan raya berasaskan kepanjangan jalan negeri yang berkenaan.
Pemberian ini dikira mengikut perbelanjaan purata yang ditanggung oleh Kerajaan
Negeri bagi memelihara satu batu jalan mengikut taraf yang rendah didarab
dengan jumlah batuan jalan-jalan negeri yang layak menerima pemberian itu
(Ruslan Zainuddin et.al., 2005:222-223).
Jenis Bantuan
|
Kaedah Perkiraan
|
Pemberian mengikut bilangan orang di sesebuah negeri
|
|
Pemberian jalan raya berasaskan kepanjangan jalan
negeri berkenaan
|
|
Sumber:
Buku Kenegaraan Malaysia, 2005
Kerajaan Negeri tidak boleh membuat apa-apa pinjaman,
kecuali daripada Kerajaan Persekutuan atau daripada sesebuah bank yang
diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan. Tempoh pinjaman yang dibenarkan daripada
sesebuah bank yang diluluskan bagi Kerajaan Persekutuan adalah tidak melebihi
lima tahun.
BIDANG KUASA HAL EHWAL KEWANGAN
Bagi mana-mana negara
yang mengamalkan sistem Persekutuan, kerajaan pusat mempunyai beberapa
kelebihan ke atas Kerajaan Negeri. Begitu juga yang menjadi amalan bagi
Kerajaan Malaysia. Secara umumnya, banyak sumber negara dikuasai oleh Kerajaan
Pusat. Ini sejajar dengan tanggungjawabnya terhadap semua Kerajaan Negeri yang
bergabung. Di samping itu Perlembagaan juga secara jelas tidak membenarkan
sebarang monopoli dan penyelewengan dari konsep pergabungan ini. Terdapat dua
jenis pembayaran wajib yang mesti dilakukan oleh Kerajaan Pusat pada setiap tahun
kewangannya, iaitu bahagian satu Jadual Ke-10 menetapkan bayaran (pemberian)
mengikut bilangan penduduk yang mesti diberikan kepada setiap Kerajaan Negeri.
Manakala, bahagian dua Jadual Ke-10 memperuntukkan bayaran bagi penyelenggaraan
jalan-jalan negeri yang dinamakan pemberian jalan negeri (Rohani Abdul Ghani
et.al., 2006:89).
Kerajaan Pusat juga bertanggungjawab memberi sebanyak
10 peratus dari hasil kepada negeri-negeri yang banyak mengeluarkan hasil
tersebut dan ia dinamakan royalti. Kerajaan Pusat juga sentiasa membantu
Kerajaan Negeri melalui projek pembangunan yang disalurkan melalui setiap
kementerian yang ditubuhkan. Bagi menampung segala kekurangan perbelanjaan
Kerajaan Negeri, ia juga boleh dibuat pinjaman kepada atau melalui Kerajaan
Pusat.
Urusan kewangan juga diselaraskan oleh sebuah urus setia
sebagaimana Hal Ehwal Tanah. Urus setia ini dinamakan Majlis Kewangan Negara
yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan ahlinya terdiri dari Menteri
Besar, Ketua Menteri, Menteri Kewangan dan wakil dari beberapa Kementerian. Melalui
majlis ini, kerajaan negeri wajib menubuhkan tabung yang dinamakan Kumpulan
Wang Simpanan Negeri bagi kegunaan pembangunan dan menambah hasil negeri.
Jumlah wang yang ditabungkan berbeza-beza mengikut kemampuan dan persetujuan
kedua-dua kerajaan setelah diputuskan melalui perundingan dalam majlis. Apa
yang menariknya dalam hal ehwal ini, Kerajaan Sabah dan Sarawak, mempunyai
sedikit kelebihan atau keistimewaan dari segi kuasa. Perkara 112B dan Perkara
112C Perlembagaan Malaysia memberikan kuasa kepada kedua-dua negeri tersebut
untuk membuat pinjaman dari mana-mana institusi kewangan dalam negeri tanpa
persetujuan Kerajaan Pusat (Rohani Abdul Ghani et.al., 2006:91)
Demikian juga dengan pemberian khas dan penyerahan
hasil. Kedua-dua negeri ini mendapat keistimewaan dari segi hasil dan kewangan
sejajar dengan persetujuan semasa pembentukan Persekutuan Malaysia dahulu.
Walau bagaimanapun secara praktisnya kesefahaman antara Kerajaan Pusat dengan
Kerajaan Negeri dari segi politik akan lebih mendorongkan kerjasama dalam hal
ehwal kewangan ini.
RUMUSAN
Kerajaan
Persekutuan adalah sebuah kerajaan yang mempunyai kekuatan daripada aspek undang-undang,
kewangan dan eksekutif. Walaupun Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukkan
bidang kuasa kerajaan negeri dari aspek perundangan, kewangan dan eksekutif
tetapi bidang kuasa tersebut masih mampu diatasi oleh kerajaan
Persekutuan. Bidang kuasa kerajaan
negeri adalah terhad apabila dilihat dari sudut perundangan kerana Kerajaan
Persekutuan akan berkuasa untuk membuat perundangan bagi peringkat negeri untuk
perkara tertentu yang berkenaan dengan Persekutuan seperti perkara-perkara
berkenaan dengan triti, perjanjian atau konvensyen antara Persekutuan dengan
mana-mana negara lain dan memastikan keseragaman undang-undang dan dasar dari
aspek perundangan tanah. Selain itu, kekuatan Kerajaan Persekutuan dapat
dilihat dari aspek struktur kewangan yang merupakan satu cabang
pengurusan yang berhubung dengan aktiviti dan kawalan kewangan negara.
Pengurusan kewangan awam memerlukan pentadbiran yang sistematik dan cekap
kerana pentadbiran akan menentukan penggunaan sumber yang mencapai matlamat
negara. Ia melibatkan proses pembuatan
keputusan oleh pihak kerajaan dan pengurusan berhubung dengan perolehan hasil
negara. Seterusnya, kerajaan Persekutuan berkuasa dari sudut eksekutif melalui
beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan perkara
tertentu. Antaranya, memperuntukkan bahawa
kerajaan Persekutuan boleh membuat siasatan terhadap kerajaan Negeri, Parlimen boleh
membuat undang-undang bagi bidang kuasa eksekutif sesuatu Negeri dan kerajaan
Negeri perlu membantu kerajaan Persekutuan dalam hal-hal berkenaan pentadbiran.
Oleh itu, bidang kuasa kerajaan Persekutuan adalah lebih tinggi berbanding
dengan bidang kuasa kerajaan Negeri dari aspek perundangan, eksekutif dan kewangan walaupun
di dalam Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bidang kuasa kerajaan
Negeri melalui tiga aspek tersebut.
RUJUKAN
Ruslan Zainuddin, Mohd Mahadee Ismail & Zaini Othman (2005), Kenegaraan Malaysia, Petaling Jaya: Oxford Fajar
Sdn.Bhd.
Rohani Hj. Ab Ghani & Mohamad Idris Saleh (2006), Kenegaraan Malaysia, Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Samihah Khalil et.al
(2004), Pengurusan Kewangan, Sintok:
UUM Press.
Tunku Sofiah Jewa. Salleh Buang & Yaacob Hussain
Marican (2007), An Introduction To The Constitution Of Malaysia, Kuala
Lumpur: Pacifica Publications.
No comments:
Post a Comment